Lelaki yang berusia 76 tahun sebelum itu mendakwa anaknya mati akibat ditembak di kepala selepas sekumpulan penyamun yang terdiri daripada enam lelaki datang menyamun pekerja mereka jam 10 malam kelmarin sebelum melarikan diri.
Bagaimanapun, soal siasat anggota polis menimbulkan keraguan terhadap dakwaan itu apabila lelaki berkenaan kerap menukar jalan cerita sebelum penemuan selaras senapang jenis pump gun yang dipercayai sengaja disorokkan.
Warga emas itu akhirnya mengaku tidak sengaja menembak anaknya kerana ketika kejadian keadaan adalah gelap dan akibat terlalu takut, dia menyorokkan senjata berkenaan. Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, ketika kejadian, suspek dan anaknya yang juga peniaga daging panggang berusia 51 tahun itu keluar memeriksa pondok tempat tinggal seorang pekerja mereka yang juga warga Myanmar selepas terdengar jeritan lelaki itu meminta tolong.
“Suspek membawa senapang berkenaan manakala anaknya pula memegang parang. Ketika membuat pemeriksaan di dalam rumah itu, suspek tidak menyedari anaknya terlebih dulu meluru ke hadapan.
“Dalam keadaan gelap, suspek ternampak kelibat seorang lelaki memegang parang yang disangka penyamun sebelum melepaskan tiga das tembakan dan satu daripadanya mengenai kepala mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.
Katanya, suspek sebenar dipercayai seorang lelaki tempatan yang bersenjatakan sebatang besi pula sudah melarikan diri melalui pintu hadapan rumah berkenaan sebaik pekerja berkenaan menjerit.
“Selain senapang berkenaan, pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui lima kelongsong peluru, 24 butir peluru dan parang yang mempunyai kesan darah dipercayai dipegang mangsa,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek sudah memiliki lesen senjata api berkenaan sejak 1967 bagi tujuan mencegah musuh tanaman berikutan mempunyai kebun tanaman di belakang rumahnya.
Difahamkan, mangsa, Chong Kuan Fatt yang maut di tempat kejadian dan anak tunggalnya berusia 12 tahun tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya itu selepas kematian isteri beberapa tahun lalu akibat kanser.
Ab Rashid berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pagi semalam.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/29
0 000 berbicara:
Post a Comment