♥ Pengikut Setia ♥

Friday, November 29, 2013

Bukan lagi ancaman kepada negara

Kluang: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berharap kumpulan berhaluan kiri di negara ini tidak mengambil kesempatan atas kepulangan Siti Aishah Abdul Wahab, 69, wanita tempatan yang dijadikan hamba domestik selama 30 tahun di Britain yang sebelum ini dikatakan menyokong perjuangan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun Siti Aishah yang akan dibawa pulang dari London mempunyai rekod sebagai aktivis berhaluan kiri, namun wanita itu kini bukan lagi ancaman kepada keselamatan negara.


Menurutnya, kumpulan berfahaman komunis dan berhaluan kiri diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan, sebaliknya memberi ruang kepada wanita itu untuk kembali ke pangkal jalan.

“Kumpulan berhaluan kiri seperti individu yang menghantar kakak Siti Aishah (Kamar Mahtum) ke lapangan terbang (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang) untuk ke London juga diharap tidak lagi meneruskan perjuangan zaman 1970-an yang tidak relevan pada 2013.


“KDN berharap Siti Aishah pulang untuk berehat kerana dia juga sudah uzur, jangan pula bila balik nanti buat ‘road show’ (jelajah) untuk mengembangkan fahaman karut itu. Sepatutnya, dia bertaubat nasuha dan meninggalkan aktiviti itu,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengiringi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar merasmikan Sekolah Agama Tarbiyah Husnul Khatimah di Kompleks Penjara Kluang di sini, semalam.

Pada 22 November lalu, polis United Kingdom melaporkan tiga wanita termasuk Siti Aishah diselamatkan selepas mereka didakwa menjadi hamba domestik selama 30 tahun di sebuah rumah di selatan London.


Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kelmarin mendedahkan bahawa Siti Aishah pernah menjadi buruan polis kerana menjalankan aktiviti berhaluan kiri dan memperjuangkan fahaman komunis sebelum ke London.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/29




Terima Kasih Sudi Baca. ^.^

0 000 berbicara: