Pemakanan yang seimbang merupakan kunci utama ke arah amalan gaya hidup sihat. Sewajarnya kita mengambil makanan yang seimbang dan menjadikannya budaya hidup setiap hari. Makanan yang tidak seimbang akan menyebabkan seseorang itu mudah mendapat penyakit bahaya seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit kencing manis. Seseorang ltu juga mesti minum banyak air setiap hari. Sesungguhnya, tubuh kita akan mendapat zat dan vitamin mencukupi serta dapat mengelakkan penyakit berbahaya jika kita mengamalkan pemakanan seimbang.
Amalan gaya hidup sihat juga meliputi aktiviti senaman. Aktiviti senaman membolehkan darah mengalir dengan lancar dan jantung dapat berfungsi dengan baik. Peluh yang keluar ketika bersenam dapat membuang sisa toksik dalam badan seseorang. Aktiviti senaman boleh kita lakukan di taman permainan atau di dalam dewan. Oleh itu, seseorang mestilah bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit bagi setiap sesi untuk menjadikan tubuh sihat.
Mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala juga merupakan amalan gaya hidup. Seseorang itu tidak sewajarnya hanya berjumpa doktor setelah mendapat penyakit. Oleh itu, kita perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengetahui tahap kesihatan kita agar dapat mengambil tindakan yang sewajarnya jika kita mula diserang penyakit. Sesungguhnya, tahap kesihatan yang baik membolehkan seseorang itu menjalani kehidupan dengan lebih sempurna dan ceria.
Menjaga kebersihan rumah dan persekitaran tempat tinggal juga merupakan amalan gaya hidup sihat. Tempat tinggal kita seharusnya bersih dan terhindar daripada hidupan serangga seperti nyamuk, lalat atau lipas. Persekitaran yang bersih membolehkan kita mendapat udara yang nyaman dan bersih. Kita boleh menjaga kebersihan tempat tinggal kita dengan membuang sampah sarap yang terdapat di rumah kita ke tempat yang sesuai. Selain itu, air bertakung yang menjadi tempat nyamuk membiak juga perlu dihapuskan. Amalan menjaga kebersihan rumah patut diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi.
Amalan gaya hidup sihat juga dapat diamalkan jika kita tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan kesihatan. Antara perkara-perkara yang boleh menjejaskan kesihatan ialah merokok, mengambil dadah dan minum arak. Di samping menjejaskan kesihatan, amalan ini juga menyebabkan seseorang membazir wang yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara-perkara yang lebih berfaedah. Perbuatan menagih dadah juga boleh menyebabkan berlakunya pergaduhan dalam keluarga dan dijangkiti penyakit AIDS. Oleh itu, pihak kerajaan boleh mengadakan kempen untuk menghindarkan rakyat daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan kesihatan.
0 000 berbicara:
Post a Comment