♥ Pengikut Setia ♥

Friday, November 29, 2013

Serah semua wang diwarisi

London: Seorang wanita yang mati secara misteri ketika tinggal bersama pengikut kumpulan Maoist menyerahkan semua £60,000, wang yang diwarisi daripada mendiang bapanya kepada kumpulan pelampau itu.

Sian Davies mewarisi wang berkenaan apabila bapanya, Alun meninggal dunia pada 1970 tetapi dipercayai menghabiskan semuanya untuk membiayai kumpulan itu yang berpangkalan di London Selatan.


Apabila Sian mati, dia hanya memiliki £5 dalam akaun banknya dan satu-satunya yang ditinggalkannya ialah beberapa buku mengenai Marxist.

Menurut laporan lain, keluarga Sian yang bimbang dia dieksploitasi kumpulan itu membekukan akaun banknya.


Dia mati pada 1997 selepas tengkuknya patah akibat jatuh dari tingkap sebuah bangunan di Brixton, tempat dia tinggal bersama-sama pemimpin kumpulan berkenaan, Aravindan Balakrishnan dan pengikutnya yang lain.


Tiga wanita lain termasuk anak Sian, Rosie yang tinggal bersama kumpulan berkenaan dibebaskan minggu lalu.

Mereka diwawancara polis buat kali pertama kelmarin ketika pihak berkuasa berusaha menyiasat untuk memastikan sama ada Balakrishnan yang dikenali sebagai Comrade Bala dan isterinya, Chanda boleh didakwa.


Sian yang berusia 44 tahun ketika dia mati, dibesarkan dalam keluarga kelas pertengahan di Wales Utara dan menuntut di Kolej Perempuan Cheltenham yang berprestij.

Dia terpengaruh untuk menyertai Institut Pekerja Fahaman Marxist-Lenin-Mao Zedong selepas berpindah untuk meneruskan pengajian di universiti di London pada 1977.


Menurut akhbar Guardian, kumpulan itu bergantung kepada wang Sian selama beberapa tahun.


Sepupunya, Eleri Morgan berkata, ibu Sian mengambil keputusan membekukan akaun banknya dalam usaha untuk menyekat dia menghabiskan semua wangnya untuk kumpulan pelampau itu.


Kumpulan itu dipercayai tinggal untuk beberapa waktu di sebuah rumah di Battersea milik Sian sebelum dia memberikan mereka £10,000 untuk menyewa ibu pejabat mereka di Brixton.


Keluarganya tidak menyedari Sian melahirkan anak perempuan ketika tinggal bersama Balakrishnan dan tidak diberitahu bahawa dia mati selepas terjatuh dari bangunan tempat mereka tinggal.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/29




Terima Kasih Sudi Baca. ^.^

0 000 berbicara: