♥ Pengikut Setia ♥

Thursday, May 1, 2014

Zon ‘frienemy’


Isu kawan makan kawan, tikam belakang ataupun bermusuh dengan menyebarkan fitnah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan kita. Golongan remaja adalah mereka yang terdedah dengan pelbagai situasi membabitkan kawan dan mereka di sekeliling.
Gen Y sendiri sudah banyak menerima aduan dan kiriman masalah daripada rakan remaja yang berdepan isu sebegini. Lebih separuh daripada mereka adalah gadis yang selalu menjadi mangsa perbuatan teman baik sendiri. 
Tidak kisah mengenai soal peribadi ataupun isu biasa, tetapi selalunya perselisihan faham yang berlaku dalam kalangan remaja adalah rasa cemburu dan iri hati sesama mereka. Mungkin kerana pelajaran ataupun satu pihak menjadi perhatian ataupun soal lelaki pujaan yang mereka impikan. 

Senario biasa adalah apabila kawan yang kita percaya, menjadi tempat berkongsi segala masalah tetapi tidak semena-mena masalah kita tadi dijaja pula untuk pengetahuan individu lain sehingga membuatkan kita seakan-akan dijauhi. Itu paling kejam dan selalu berlaku dalam kalangan remaja.

Bagaimanapun, bagi sesetengah remaja, mereka tidak sedar dan gagal membuat pertimbangan setiap kali berdepan situasi sebegini atau kini lebih mudah dipanggil ‘frienemy’.

Bila dan bagaimana keadaannya untuk mengetahui yang kita sebenarnya berada di dalam zon sebegini? Gen Y berkongsi lima tanda menunjukkan kamu sudahpun berada di dalam zon bahaya ini. Ikuti tanda-tanda ini. 


1. Bertukar ‘mood’ 

Sukar membezakan sama ada si dia kawan atau sebenarnya lawan untuk kita kerana perwatakannya yang agak janggal dan pelik. Itulah realitinya yang dia adalah ‘kawan bermusuh’ kamu Jika kawan kamu itu selalu saja bertukar ‘mood’ atau mengalami masalah ‘mood swing’, itu salah satu tandanya melainkan sejak awal perkenalan, si dia sudahpun bersikap sebegitu. Tanpa sebab yang konkrit atau alasan yang kuat, kawan yang kononnya kamu anggap sahabat itu tiba-tiba menjadi mudah marah, cakap dalam intonasi kasar ataupun seakan-akan malas untuk berinteraksi. 

Peringatan buat kamu adalah berhati-hati dan mula mencatur permainan kamu untuk menjauhkan diri. Maklum sajalah ‘mood’ juga boleh mempengaruhi perasaan seseorang. Jika dia benar-benar tiada perasaan negatif terhadap kamu, mengapa mesti dia marah-marah kamu bukan? 

Mungkin dia sudah mula mengesan strateginya untuk mengenakan kamu gagal ataupun ada lagi sebab lain membabitkan kamu berdua yang membuatkan dia semakin marah dengan keadaan itu. Selalunya apabila ada kawan lain masih melayan kamu dengan baik sedangkan kisah negatif kamu sudahpun disebarkan. 

Atau mungkin lelaki yang dia suka dalam diam itu lebih memberikan perhatian kepada kamu berbanding dirinya. 


2. Gerak hati lain macam 

Walaupun kamu cuba sedaya upaya untuk rapat dengannya, namun kamu tetap ada perasaan ‘janggal’ dan tidak selesa. Dia sudah bersikap baik dengan kamu, menemankan kamu dan menjadi pendengar setia kononnya, namun kamu masih lagi tidak boleh berkongsi segala-galanya dengan dia.

Pasti kamu tertanya-tanya mengapa bukan? Jawapannya adalah kerana kamu merasainya melalui gerak hati. Itu menunjukkan yang kamu memang tidak boleh menerima dia dan dia juga bukanlah benar-benar ikhlas untuk menjadi kawan baik kamu. 


3. Menjadikan kamu pesaing 

Tanda ketiga dan selalunya mudah untuk kita mengesan niat tidak baik seseorang kawan itu apabila dia seperti menjadikan kamu seperti pesaingnya sedangkan hubungan antara kamu dan dia adalah kawan. 

Pantang nampak kamu lebih sedikit pasti si dia akan cuba melakukan sesuatu untuk mengalahkan kamu. Nampaknya si dia benar-benar cuba mencuri perhatian yang kamu dapat daripada orang keliling ataupun dalam diam, dia memang inginkan apa saja yang kamu ada. 

Individu seperti ini sememangnya harus dijauhi dan paling tepat, tak rugi pun kalau kamu tidak berkawan dengannya. 


4. Memuji dan menghina 

Dalam setiap pujian yang dia berikan kepada kamu, ada saja hinaan yang dia selitkan secara halus. Hati-hati dengan individu seperti ini. Ternyata dia hanya ‘musuh dalam selimut’ kamu saja. Jika terjadi, tidak perlu melawan atau melayannya. 

Individu seperti ini sememangnya susah untuk berubah dan sifat jahatnya itu sudah lama bersarang dalam jiwa. Orangnya jenis yang gemar menyindir, bercakap sinis dan sudah tentu di belakang kamu, si dia adalah jenis manusia yang bermuka-muka dan hanya menjadikan kamu sebagai objek untuknya meraih sesuatu. 

Biarkan saja si dia dengan caranya itu, namun untuk kamu, perlu lebih berhati-hati. 


5. Menyembunyikan sesuatu 

Kadangkala si dia suka berahsia dengan kamu dan ­sengaja menyembunyikan sesuatu perkara daripada pengetahuan kamu seperti keluar bersama teman-teman tanpa memberitahu kamu. 

Orang yang suka menyembunyikan sesuatu memang ada agendanya tersendiri. Pasti ada sebab mengapa si dia cuba mengecualikan kamu. Jika dia benar-benar ikhlas berkawan dengan kamu, mengapa mesti si dia lakukan sesuatu seperti ini dan mengetepikan kamu? 

Lima tanda ini paling jelas untuk kamu jadikan panduan bagi menjauhkan diri dan membuat sedikit ruang antara kamu kerana kawan kamu itu sememangnya melancarkan kempen berkawan secara ‘frienemy’!
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10
Terima Kasih Sudi Baca. ^.^

0 000 berbicara: