♥ Pengikut Setia ♥

Sunday, December 15, 2013

Penuntut UiTM maut, rakan cedera bergesel kereta


Klang: Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam maut manakala rakannya cedera selepas motosikal mereka bergesel dengan sebuah kereta di Jalan Meru, Batu 2, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang, penunggang Mohamad Azlan Daud, 22, mati di tempat kejadian manakala rakannya Mohammad Azrin Abd Samad, 22, cedera parah.
Mereka yang menaiki motosikal jenis Scrambler Nimota dalam perjalanan untuk menghantar Mohammad Azrin ke Klang Sentral.
Ketua Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan cuba memotong sebuah kereta jenis Cherry dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun.
“Bagaimanapun, ketika cuba memotong, motosikal ditungganginya bergesel dengan sisi kiri kereta itu lalu hilang kawalan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian melanggar belakang sebuah lori dipandu seorang lelaki 43 tahun yang kebetulan berada di depan lorong kiri laluan terbabit.

“Akibat rempuhan di belakang lori itu, mangsa cedera parah di leher dan dada serta mati di tempat kejadian, sementara rakannya cedera di perut dan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini,” katanya.
Menurutnya, keterangan pemandu kereta dan lori sudah direkod dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.
Sehubungan itu, orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15
Terima Kasih Sudi Baca. ^.^

0 000 berbicara: