Ia susulan garis panduan BB1M yang diperkemas dan diperketatkan oleh Kementerian Pendidikan bagi memastikan pemberiannya mencapai matlamat. Garis panduan itu juga dapat memudahkan pekedai buku dan mahasiswa serta diguna dengan sebaik-baiknya selaras dengan objektif insentif terbabit.
Dalam satu kenyataan semalam, kementerian berkenaan turut memaklumkan, BB1M kini hanya boleh digunakan untuk pembelian buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah.
Garis panduan yang diperkemaskan itu turut memperketatkan peraturan kepada pekedai buku. Mana-mana pekedai buku yang didapati bersalah menyalahgunakan BB1M akan disenarai hitam dan tidak dibenarkan menyertai program BB1M selama tiga tahun berturut-turut.
Ini adalah tambahan kepada peraturan sedia ada, iaitu tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan ke atas pihak yang menyalahgunakan BB1M. Adalah diharapkan tidak akan berlaku kekeliruan antara pekedai buku dan mahasiswa dalam pindaan garis panduan BB1M ini, katanya.
Kementerian amat memandang serius sebarang penyalahgunaan BB1M dan menghargai aduan berkaitan perkara itu.
Ringan beban pelajar
Maklumat lanjut mengenai pindaan garis panduan terbabit boleh didapati melalui portal rasmi kementerian di www.moe.gov.my, manakala sebarang pertanyaan boleh
diajukan kepada Urus Setia BB1M melalui e-mel, bb1m@moe.gov.my.
Kerajaan memperkenalkan BB1M sejak 2012 yang setakat ini dimanfaatkan oleh lebih 3.9 juta mahasiswa prauniversiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan peruntukan RM890 juta.
Tujuan utama kerajaan memperkenalkan insentif itu untuk meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian dan memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Bagi tahun 2014, peruntukan sejumlah RM325 juta telah diluluskan oleh kerajaan untuk menjayakan pemberian BB1M kepada 1.3 juta mahasiswa.
BERNAMA