♥ Pengikut Setia ♥

Thursday, May 1, 2014

Laungan kalimah merdeka


Kemerdekaan yang kita kecapi, kini meniti usia enam dekad. Setiap kali mentari Ogos tiba, semua rakyat Malaysia berpeluang melaungkan kalimah merdeka. Ogos bakal menjelang tidak lama lagi, perkara sama pasti dilakukan rakyat Malaysia berulang-ulang kalinya.
Bila mengimbau kembali sejarah silam Malaysia, kalimah ini dilaungkan tujuh kali oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman sebagai simbolik bebasnya tanah air daripada jajahan musuh. Namun, kalimah yang dilaung itu sekadar bergema menghiasi alam.
Maksud yang terpatri di sebalik seruan itu sebaliknya tidak dihayati sepenuhnya. Apakah kalimah ‘merdeka’ yang kita laungkan bersama itu hanya laungan semata-mata? Fahamkah kita makna patriotisme di sebalik apa yang dilaung itu seperti soal pantun di atas?

Apakah punca seseorang individu kurangnya patriotisme dan bagaimana ingin mengembalikan rasa itu kembali?

Pepatah Melayu ada mengatakan ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’. Ungkapan terbabit boleh dikaitkan dengan wira pahlawan masa lampau negara kita. Jerih dan payah perjuangan bukan untuk populariti tetapi kerana maruah dan perasaan cinta pada tanah air sendiri.

Bagi mereka ‘Biar putih tulang, jangan putih mata’. Mereka rela berkorban daripada terus melambaikan bendera putih pada seteru. Tiada istilah mengalah dalam kehidupan masyarakat dulu. Maruah dan hak perlu diperjuangkan hanya dengan berkorban. Tidak senang berkorban demi hak dan kebebasan untuk diri sendiri, apalagi untuk orang lain.

Bak kata Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, ‘Merdeka itu adalah suatu perkara yang bukan mudah untuk diperoleh, ia memerlukan pengorbanan bukan saja wang ringgit, usaha, tenaga tetapi bahkan nyawa sendiri juga.’

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, merdeka ialah bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan, lepas daripada tebusan atau tuntutan, berdiri sendiri serta tidak bergantung pada orang lain. Kemerdekaan terbabit dicapai kerana adanya semangat patriotisme.

Patriotisme pula menurut kamus dewan edisi sama, ia diertikan sebagai perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Individu yang patriotik sanggup mempertahankan kedaulatan negaranya. Dengan kata lain, seseorang yang memiliki semangat patriotik mempunyai kepercayaan mengenai kebesaran dan kebenaran negaranya, menghargai simbol-simbol yang menjadi kebanggaan negara dan melaungkan kalimah merdeka dengan bersemangat sebagai tanda kesediaannya untuk mempertahankan negara.

Menurut Azman Sharif (2012), istilah patriotisme dikatakan berasal daripada bahasa Latin iaitu patriota dan patriote dalam bahasa Perancis serta patriot dalam bahasa Greek yang membawa pengertian individu yang sentiasa menyokong dan mempertahankan negara sendiri secara berterusan disebabkan rasa cinta yang wujud terhadap negara. 

Manakala isme pula merujuk kepada fahaman, perasaan dan semangat. Cantuman dua rangkai kata ini melahirkan satu istilah baru dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu bagi menggambarkan semangat dan perasaan cintakan tanah air dan sanggup berkorban mempertahankan tanah air daripada musuh.

Webster (1990) pula menyatakan ‘love of country or devotion to the welfare of one’s country. Those who are loved their country simply because it is their country - because it is the birth place and the mansion of their father’.

Datuk Prof Dr Mohd Ruddin, Mohd Shamsuri, Rahman Hashim dan Albert Feisal menyatakan patrotisme juga sering dilihat sebagai ‘nasionalisme rasmi’ atau official nationalism bagi sesebuah negara (Kellas, 1991). Sebagai sebuah negara merdeka juga, Malaysia memiliki kedaulatan tersendiri. Ia dilambangkan dalam pelbagai bentuk interaksi simbolik. 

Bendera negara, umpamanya adalah simbol kepada kewujudan dan kedaulatan sesebuah negara. Maka, mengibarkan bendera sebagai menzahirkan rasa cinta dan syukur menjadi warga sesebuah negara adalah satu tingkah laku mulia. Begitu juga dalam soal penghormatan terhadap Malaysia menerusi lagu kebangsaan. 

Berdiri tegak ketika lagu Negaraku dinyanyikan adalah satu bentuk penghormatan fizikal yang senang diukur tetapi sejauh mana ia dihayati sebagai simbol kebesaran negara adalah amat sukar dikenal pasti. Pada realitinya, lirik lagu kebangsaan membawa makna yang cukup signifikan sehingga mampu membarakan api perjuangan yang berkobar-kobar dalam sukma sejagat. 

Namun, tidak semua masyarakat mampu mengucap syukur dan menghargai jasa mereka. Masyarakat kini alpa pada negara sehingga ada yang sanggup memperlekehkan kewibawaan dan kedaulatan negara Malaysia. Ada yang mencaci, mengutuk malah menghina bekas pejuang yang sudah tiada. Misalnya, kes membakar bendera negara.

Kes ini pernah diterbitkan Berita Harian bertarikh 10 September 2007 di halaman keempat. Inikah balasan sebahagian rakyat pada pejuang lama kemerdekaan? Perbuatan sebegini bukan saja menampakkan rakyat di negara ini ‘seperti kacang lupakan kulit’ serta memalukan, malah maruah negara juga akan terjejas disebabkan perbuatan khianat ini. 

Jika mahu menunjukkan kebencian dan kemarahan kepada sesuatu pihak atau negara, maka ‘membakar bendera’ bukan perkara yang patut dilakukan. Selain itu, ada juga rakyat yang sanggup memburuk-burukkan lagu milik negara sendiri. Lirik lagu asli ‘Negaraku’ yang asal diubah kepada lirik yang tidak sedap didengari. 

Disebabkan hadirnya rasa marah atau benci dengan negara sendiri, berbagai-bagai perbuatan sanggup dilakukan demi memuaskan nafsu murtad yang menjajah dalaman hati seseorang individu. Ada juga kes perhimpunan awam dan mogok. Oleh sebab ketidakpuasaan hati, sebahagian rakyat sanggup melakukan perbuatan khianat ini demi kepentingan dan hak sendiri. 

Biasalah ‘rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain’. Bukan itu saja, jika ditanya Perdana Menteri yang pertama hingga sekarang, ada yang tidak mampu menyebut nama mereka. Itu belum lagi memasuki skop bekas pahlawan tanah air seperti Tok Janggut, Rentap, Dato Bahaman dan Dato Maharajalela. 

Punca pertama seseorang individu itu kurang mempunyai rasa cinta pada negara adalah kerana leka akibat tempias arus pemodenan. Masyarakat kini sibuk mengerjakan hal sendiri tanpa memikirkan kepentingan negara. Gajet terbaru, fesyen terkini, hampir semua rakyat tahu apabila ditanya persoalan mengenainya.

Rakyat kini ingin hidup moden tetapi lupa tanggungjawab pada negara. Masih ingatkah kita pada perwira negara yang bukan saja sanggup berjuang meskipun darah tumpah sekalipun? Jika diimbas kembali dari mula pendudukan Inggeris pada 1786 apabila Francis Light mula mengibarkan bendera penjajahan secara rasmi di bumi Tanah Melayu, sudah pasti kita memiliki hati yang benci dan dendam bila penjajah asing sewenang-wenangnya mengibar panji mereka di tanah air yang tercinta (Sara & Syafina, pidato berjudul Perjuangan Kemerdekaan). 

Kita dikongkong, dijadikan hamba manakala penjajah bergoyang kaki, minta disembah seperti raja. Mahukah kita sejarah itu berulang semula? Mahukah kita sekali lagi ‘ibarat burung di dalam sangkar, mata lepas, badan terkurung?” Seterusnya, aspek kekeluargaan yang rapuh juga menjadi punca seseorang individu itu kurang patriotisme.

Bila sudah bergelar ibu dan bapa kepada seseorang anak, pastinya punca pendapatan itu penting. Malah, masih bujang lagi pun kita sudah sibuk bekerja demi mengubah taraf hidup. Awal pagi turun kerja, lewat malam baru balik. Motif utama masyarakat kini adalah untuk menggapai hidup yang senang dan mewah.

Kemewahan yang melimpah-ruah ini menyebabkan sebahagian masyarakat ‘Seperti ayam bertelur di padi’. Jadi, apabila anak dan ibu bapa masing-masing sibuk bekerja dan punyai tanggungjawab sendiri maka tiada masa untuk diluangkan bersama. Penjajahan era baru ini dipanggil konsep langit terbuka jauh lebih merbahaya kerana ia membabitkan minda (Mohd. Adi, esei kemerdekaan berjudul Rakyat Berjiwa Merdeka).
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29
Terima Kasih Sudi Baca. ^.^

0 000 berbicara: