Pengasingan diri daripada semua orang itu adalah normal dan ia adalah satu fasa bagi setiap remaja yang berada dalam dilema. Terdapat banyak sebab mengapa seseorang itu mula mengasingkan diri daripada khalayak dan ‘buat hal sendiri’. Faktor terbabit biasanya dipengaruhi oleh penyesalan ataupun kegagalan dalam hidup.
Menghindarkan diri itu bukan bermakna seseorang itu sudah menyerah kalah dalam hidup bahkan dia kuat dan mungkin berhasrat mengubah diri yang serba kekurangan ataupun ingin menarik diri daripada kancah kegelapan.
Individu yang ingin mengasingkan diri biasanya tidak mempedulikan hal orang lain kerana baginya, penyesalan terhadap sesuatu dan perubahan diri itu lebih penting tanpa bantuan sesiapa pun. Pendek kata, remaja sangat leka dan mudah melakukan apa saja yang diinginkan tapi akan ada suatu saat di mana anak muda ingin mencari ketenangan mahupun kebenaran mengenai kehidupan yang penuh penipuan.
Individu yang ingin mengasingkan diri biasanya tidak mempedulikan hal orang lain kerana baginya, penyesalan terhadap sesuatu dan perubahan diri itu lebih penting tanpa bantuan sesiapa pun. Pendek kata, remaja sangat leka dan mudah melakukan apa saja yang diinginkan tapi akan ada suatu saat di mana anak muda ingin mencari ketenangan mahupun kebenaran mengenai kehidupan yang penuh penipuan.
Apabila telefon berdering tidak diangkat, pesanan ringkas tidak terbalas dan sosial media ditinggalkan, itu bermakna seseorang individu ingin ‘berehat’ sebentar dan mahu mencari kepuasan diri dan makna penting dalam hidup.
Lihat saja ramai remaja yang kecundang dan mudah putus asa kerana tidak yakin akan usaha dilakukan. Mudah untuk menyerah kalah seperti membilang satu, dua dan tiga tapi sukar untuk mencapai matlamat diri yang memerlukan usaha berterusan. Pengasingan diri daripada masyarakat itu ada kebaikannya namun ada juga keburukan jika cara untuk mencari jalan yang lurus itu tidak bertepatan.
Punca utama
Tekanan dalam diri - tertekan itu adalah lumrah dalam hidup. Semua kelompok usia tidak kira remaja mahupun dewasa pasti mengalami tekanan berulang kali dalam hidup. Namun, tekanan itu kadangkala memberikan impak cukup besar sehinggakan kamu ingin menyerah kalah dan tidak ingin berjuang mengharungi kekangan dalam hidup. Sama ada dalam aspek pekerjaan mahupun pergaulan, tekanan itu adalah pasti dan tidak boleh dielakkan.
Terlalu sensitif - Selain itu, kamu mungkin berang dengan seseorang dan tidak dapat menerima kata-kata negatif yang dilontarkan tapi pada masa sama kamu tidak berupaya untuk mengubah keadaan itu. Seterusnya, kamu membuat keputusan untuk mengasingkan diri kerana tidak tahan dan kononnya ‘merajuk’ untuk tidak bergaul dengan mereka lagi.
Mulut murai - Mungkin kamu seorang yang selalu membuat ‘onar’ di mata orang lantas menyebabkan khalayak membenci diri kamu. Lebih teruk lagi apabila semua rakan baik mula sedar akan perangai kamu sebenar. Tindakan yang mereka lakukan tidak lain dan tidak bukan ialah ‘memulaukan’ diri kamu dan jika berjumpa hanya ‘hai & bye’.
Kegagalan - punca lain juga termasuk kegagalan yang kamu alami dalam hidup, sangat perit dan mengganggu emosi kamu secara keseluruhan. Kadangkala peristiwa kegagalan itu meracuni otak kamu sehinggakan diri tidak berupaya berfikir positif dan sentiasa mengingati peristiwa pahit itu. Misalnya, kamu gagal dalam percintaan dan itu menjadikan kamu tidak tentu arah dan rasa tertekan.
Rasa bersalah - Lain punca adalah disebabkan diri kamu yang rasa bersalah sehingga tidak dapat memaafkan diri sendiri. Kadangkala sifat kamu yang suka menyusahkan orang lain itu membuatkan mereka menghindari dan membenci kamu.
Bebas tekanan
Kadangkala apa yang kita hendak dalam hidup tidak tercapai walaupun kerap kali berusaha tanpa henti. Itu juga punca mengapa kita ingin membebaskan diri daripada kelompok masyarakat.
Usaha untuk mencari ketenangan itu ada kebaikannya dan ia positif. Antaranya, kamu boleh mengurangkan kadar tekanan yang ada dalam diri. Mengalami proses kegagalan dalam hidup mungkin sangat berat untuk kamu dan ia membebankan diri. Apabila sudah sampai masa kamu bertenang dan fikir kembali di mana silapnya, hidup kamu akan jadi lebih tenteram dan bebas daripada cengkaman masalah.
Selain itu, masa yang terluang itu boleh digunakan untuk meningkatkan lagi kualiti diri yang banyak kekurangan. Misalnya, kamu seorang yang malas berjaya, tidak suka bergaul dan lain-lain sifat negatif yang ada pada diri. Sikap itu boleh diubah kerana kebiasaannya cara yang paling elok untuk meningkatkan kualiti diri adalah melalui kaedah pembacaan dan mendapat didikan dari guru.
Kamu juga boleh mendapat bantuan dari rakan atau sesiapa pun yang rapat dengan kamu. Mereka sebenarnya bertindak menjadi penghibur dan penasihat yang paling berkesan untuk kamu terus cekal dan kuat mengharungi hidup. Apabila bertemankan mereka yang positif, maka nescaya sifat negatif yang mendorong kepada kegagalan itu boleh dibuang jauh-jauh.
Setidak-tidaknya mempunyai teman itu adalah lebih baik daripada mengasingkan diri tanpa berjumpa sesiapa. Dengan bantuan orang lain, kamu akan jadi lebih bermotivasi. Walaupun kadangkala terpaksa bergantung harapan terhadap orang lain, mereka sedikit sebanyak boleh memberikan inspirasi dan paling penting tidak mengharapkan balasan untuk menceriakan kamu, menjadikan kamu seorang yang lebih positif.
Dari aspek hati dan nurani, sekurang-kurangnya mengasingkan diri itu dapat membuatkan kamu berfikir lebih rasional. Mungkin selama ini kamu bergelumang dengan maksiat dan sentiasa mengikut apa saja budaya barat yang popular. Pengasingan diri itu membuatkan kamu menilai kembali apakah benar apa yang dilakukan selama ini dan yang lebih penting adakah ia memberikan apa-apa kebaikan atau impak positif pada keluarga, masyarakat atau negara.
Jika kamu membuat keputusan untuk meningkatkan tahap kerohanian dalam diri, itu adalah suatu kesedaran dan patut dilakukan dengan segera. Ia lebih mudah dilakukan saat kamu berseorangan tanpa halangan daripada orang lain. Dengan cara ini, kamu boleh melihat dunia dengan perspektif yang berlainan dan ternyata lebih positif dan dapat menangani apa juga masalah yang melanda di masa hadapan dengan lebih profesional dan berkesan.
Ambil iktibar
Proses mengasingkan diri itu penuh dengan cabaran dan dugaan. Bagi merealisasikan impian kamu menjadi seorang yang lebih positif dan baik pada masa hadapan, perlu menggunakan masa yang berkualiti itu dengan sebaik mungkin.
Bukan semua waktu kamu boleh meluangkan masa memikirkan masalah diri sendiri. Kadangkala sibuk dengan hal lain sehingga tiada masa untuk merenung keburukan yang ada pada diri. Ambil masa yang terluang itu untuk mengisi kekosongan yang ada pada diri dan gunakan ia dengan baik.
Sesudah melakukan sesi pengasingan diri itu, nescaya kamu boleh menjadi individu yang lebih matang dan positif serta dapat berfikir secara rasional. Kalau dulu selalu saja sensitif dan menyalahkan orang lain, sekarang mungkin berlainan.
Walau apa pun kekangan yang dihadapi dari kawan atau orang lain seperti cemuhan, umpatan dan sebagainya terhadap pengasingan kamu, biarkan saja dan fokus pada apa yang penting. Nak ditekankan di sini ialah kejayaan diri sendiri untuk berubah ke arah positif. Yang ingin berubah adalah kamu dan bukan mereka.
Fikirkan bahawa sikap kamu yang tidak elok itu mungkin memberi pengaruh tidak baik kepada orang sekeliling. Oleh itu, penghijrahan ke arah positif dapat mengubah diri kamu seterusnya menjadikan kamu lebih optimis dan berfikiran lebih meluas, Insya-Allah. Selamat berjaya!
0 000 berbicara:
Post a Comment