♥ Pengikut Setia ♥

Sunday, February 24, 2013

Sabar



Hari dan waktu yang terus melalui, kadang-kadang terlintas dalam fikiran tentang arah tuju diri dalam kehidupan ini. “Apakah yang akan berlaku padaku 10 tahun lagi?” “Bagaimanakah keadaan peribadiku setelah melalui ranjau dan perjuangan selama ini?” “Bolehkah daku terus membaitkan kalam dan penulisan agar terus memberi bakti dan peringatan buat mereka yang sentiasa dikasihi dan rakan seperjuanganku ini?”
Sentiasa cuba mengoreksi diri. Kerana, daku jua banyak kekurangan dan kelemahan. Tetapi jangan dijadikan asbab kekurangan itu yang menyebabkan diri merasa lemah untuk teruskan perjuangan, sebaliknya cuba memperbaiki dan terus memperbaiki agar suatu hari nanti aada dijadikan yang diciptakan di sana.
Ketika cuba menilai dan meninjau perjalanan kehidupan ini, baru diriku sedar, sudah panjang dan meningkat usiaku. Jika dahulu hanya si anak kecil yang sering merajuk dan meminta perhatian daripada ibu bapa, kini perlu terus memberi dan memberi peringatan kepada mereka yang memerlukan di luar sana. Jika dahulu cikgu yang selalu menegur dan memberi tunjuk ajar dalam pelajaran dan tingkah laku manusia, kini perlu belajar sendiri mencari sumber ilmiah dan bersama-sama rakan seperjuangan yang boleh meletakkan fikrah bersama.
Sudah jauh daku melihat dan memerhatikan alam. Sudah panjang usia dan langkah dalam mengharungi kehidupan.
Apa yang pasti, tiada siapa yang mengetahui apa yang akan berlaku di kemudian hari. Kejayaan dan nasib yang baik, atau kemerosotan dan nasib yang malang, semua itu di ‘Tangan Tuhan’. Manusia hanya layak berusaha dan merancang, tetapi Dia yang Maha Menentukan. Semua manusia dan makhluk lain di alam ini adalah ciptaan Allah. Tiada satupun terlepas dari perhatian dan ketetapan Allah.
Janganlah ditanam dalam diri sifat angkuh dan tinggi diri dengan nikmat yang dimiliki, kerana itu semua adalah sumber rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah buat hamba-nya sejak belum dilahirkan lagi. Jua, seseorang manusia itu akan terus menerus hidup di dunia ini, selagi ketetapan rezeki masih diciptakan dan tidak habis dikurniakan lagi.
Lancarkan hidup dengan kalimah fikirdan zikrullah. Moga-moga diberikan kekuatan di sebalik kekurangan yang sentiasa ada di mana-mana.
******
Kali ini cuba untuk membaitkan kisah dan peringatan di sebalik sifat sabar, antara sifat mulia atau mahmudah yang cukup bernilai di sisi Allah s.w.t.
Allah s.w.t menilai sifat sabar dengan suatu kelebihan yang sangat besar wujud dalam diri hamba-hamba-Nya. Tidak semua orang mampu memiliki sifat ini. Tidak semua orang boleh berada dalam keadaan sebegini. Ramai manusia yang lebih mudah melenting dan meledak api kemarahan apabila hati disakiti atau jiwa hilang pedoman dari Tuhan. Apabila melihat sesuatu yang tidak kena di jiwa dan pandangan, mulut mudah terpacul kata kurang menyenankan dan hati sentiasa panas setelah lama dikipas oleh syaitan. Itu belum dikira si panas baran yang menerima tekanan. Mahu sahaja tangan dan kaki sebagai bahan pengantaraan kerana meledaknya api kemarahan dalam kehidupan.
Peringkat dan pembahagian sabar adalah berbeza-beza. Mereka yang mempunyai sifat sabar adalah mereka yang terpilih di sisi Allah untuk penilaian tahap iman dan takwa. Orang yang sabar adalah orang yang mulia di sisi Allah Azza wa Jalla.
UJIAN MENGUJI KESABARAN
Sabar mempunyai pelbagai tafsiran dari sudut ilmuan dan terbahagi beberapa pembahagian. Peringkat kesabaran jua berbeza menurut kepada tahap peribadi manusia yang diuji nilai kesabarannya. Antara pembahagian sabar ialah sabar melaksanakan ketaatan, sabar menahan hawa nafsu dan sabar menempuh ujian Tuhan. Sabar akan ujian yang telah ditetapkan oleh Allah, itu antara pembahagian yang terutama dalam penilaian kesabaran.
Ujian Allah terhadap manusia di dunia ini adalah berbeza-beza. Ujian Allah berlaku sama ada dalam bentuk kesenangan atau musibah yang menimpa. Tahap ujian yang diterima berdasarkan kepada iman dan keupayaan makhluk itu menghadapi ujiannya. Allah s.w.t tidak akan menguji makhluk ciptaan-Nya melainkan dia mampu untuk menghadapinya. Hanya mereka yang  tidak pernah menyedari akan keupayaan diri dan begitu jauh dari landasan yang diredhai-Nya.
Kes bunuh diri, menjadi perosak agama, dan mengikut jalan hitam setelah ujian yang menimpa tidak akan sesekali berlaku pada kehidupan seorang mukmin dan orang kenal diri adalah hamba Allah Taala. Mereka sedar akan ujian itu adalah ketetapan dari Tuhan ke atas makhluk-Nya untuk menilai di mana iman yang selama ini diperkatakan telah wujud dalam peribadi orang tersebut.
Dia tidak akan menguji supaya orang itu hanya mengerti untuk berputus asa atau berdukacita sehingga peringkat kemungkaran sebarang permusuhan dan bunuh diri, melainkan Dia mengetahui mereka yang diuji setimpal dengan keupayaan yang dimiliki.
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”  (Al-Ankabut:2)
MANUSIA SEMEMANGNYA LEMAH
Malangnya, sekiranya seseorang itu jauh dari ajaran Rasullah dan menuruti syariatullah, maka emosi dan hawa nafsu yang lemah dan engkar akan mudah mengawal diri orang tersebut. Hilang pertimbangannya dalam mengawal situasi, perasan dan emosi boleh membangkitkan nafsu amarah yang wujud dalam diri, yang bersepadu dengan syaitan yang sentiasa menghasut anak Adam supaya sesat dari jalan keredhaan-Nya.
“Tuhan itu tidak adil!”
“Tiada gunanya aku hidup di dunia ini. Semua orang mengecam aku.”
“Biarlah aku mati dari hidup dengan dia!”
Dia bukanlah zalim, malah itu sifat mustahil bagi Dia. Dia bersifat dengan sifat yang Maha Adil. Tetapi malangnya manusia, apabila diberikan nikmat tidak tahu mengenal siapa pemberi kepada nikmat. Apabila ditimpa musibah dan mudarat, mula menyalahkan Tuhan, dan mengatakan tiada keadilan Tuhan pada dirinya.
Nikmatnya yang Maha Kaya diberikan kepada setiap manusia tanpa peduli mereka taat atau tidak akan perintah-Nya. Dia sentiasa menghulurkan nikmat-Nya ke seluruh semesta alam, moga-moga suatu hari nanti akan kembali mengingati dan disedari yang hidupnya di alam ini ada pencipta dan ada yang perlu ditanggungnya.
Kesihatan tubuh badan merupakan pemberian yang istimewa. Kesempurnaan anggota tubuh merupakan nikmat yang tak terkata.
Apabila kesedaran manusia telah hilang kerana nafsu amarah yang menyala-nyala, dan jiwa yang hina pula bernaik takhta, tertanya-tanya dalam diri, sekiranya seseorang itu mati dalam keadaan bunuh diri, membuat sesuatu yang mungkar dalam kehidupan ini atas alasan kecewa, dukacita, sedih dan putus asa, apakah yang akan berlaku ketika dia dibangkitkan nanti? Ke mana arah tuju dia? Masuk syurga kerana melanggar keredhaan Allah? Nak mengadu kepada Dia telah berlaku tidak adil setelah ujian yang menimpa ke atas dirinya setelah dibangkitkan di alam sana?
Mengunci diri dan menurut sahaja hasutan syaitan dan desakan hawa nafsu. Terpaut dengan keindahan tipu daya ke lembah kesesatan buat neraka sebagai teman.
Dengan sifat-Nya yang Maha Mengetahui, Allah s.w.t buka satu persatu maksiat dan mungkar yang wujud dalam diri manusia tersebut. Dia ciptakan tangan, kaki dan anggota tubuh badan lain untuk menjadi saksi. Apabila mulut terkunci, lidah terkelu, dan bahang dahsyatnya alam akhirat dituju, baru menyedari kehidupan dunia ini hanya semata-mata diciptakan sebagai tempat untuk menguji dan di mana tahap kesabaran hamba-Nya yang diuji.
Baru dia sedar mana langit dan mana bumi.
SABAR DALAM KEINGINAN
Keinginan dalam peribadi manusia adalah fitrah yang diciptakan Allah s.w.t. Fitrah inginkan kebahagiaan, kemewahan, hidup yang baik dan mempunyai kasih sayang antara fitrah yang semua manusia adalah berkehendakkannya. Hanya, apabila melihat keinginan dari sudut yang bersangatan atau berlebihan, ia akan menjauhi fitrah dan boleh tercela di sisi Allah Taala.
Kerana itu, sifat sabar sangat memainkan peranan yang penting dalam diri. Sabar untuk menerima dan mengharapkan apa yang diingini dalam kondensi itu adalah fitrah, dinilai sebagai sabar yang mulia di sisi ad-din Allah.
Sebagai misalan, seorang isteri kepada seorang suami yang setelah lama berpergian ke suatu lapangan sama ada kerana urusan keselamatan negara mahupun khidmat bakti kepada ummah,  pasti suatu ketika akan terbit rasa rindu dan mendambakan rasa kasih sayang dari lelaki yang selama ini menjadi penghibur dan pembantunya yang setia. Kesabarannya dalam mengharungi kehidupan seorang diri akan suatu ketika membuatkan dia terasa lemah dan mengharapkan lelaki yang dikasihi agar segera pulang di samping mengharapkan kebaikan buatnya di perantauan.
Ketika waktu itu, kesabaran wanita tersebut teruji.Keperluan dri dan keluarga, keinginan fitrahnya pada kehidupan disekat dan dibatasi. Dia perlu bersabar mengawal emosi dan hati kerana ketetapan yang telah berlaku dalam kehidupan ini.
Malah, keinginan merupakan sebagian dari sifat nafsu yang wujud dalam setiap diri manusia. Peringkat nafs manusia berbeza-beza bergantung jua pada tahap iman dan takwanya kepada Allah s.w.t. Nafsu yang paling lemah ialah nafs amarah, dan nafsu yang paling kental bagi manusia yang beriman amnya ialah nafs mutmainnah.
Maka, sekiranya nafs amarah yang sentiasa wujud dalam diri dan itulah buat peribadi, maka kemungkinan besar jiwa yang parah menerima ketetapan Allah akan mengadakan sesuatu yang hina pada pandangan mata manusia dan jua di sisi-Nya. Pergantungannya hanya buat dunia akan menjadi mudah dia untuk terus hanyut dalam ombak dan badai dunia. Namun, sekiranya hamba Allah itu wujud dalam peribadinya nafs mutmainnah, setiap ujian dan ketetapan Allah yang berlaku pada dirinya, dia bersabar dan mengharapkan keredhaan yang tidak terhingga oleh Pencipta yang Maha Esa.
Mohon perlindungan Allah dari sifat tercela yang tidak diredhai oleh-Nya. Nauzubillahiminzalik.
SABAR BUAH KEPADA IMAN
Sabar sering kali dikaitkan dengan keimanan. Malah, sabar sebahagian dari iman lebih dinilai lagi setelah menimpa ujian yang diciptakan. Ada manusia yang diuji dengan kenikmatan, ada juga mereka yang diuji dengan keperitan dan kesusahan.
Semua itu adalah bentuk ujian dari Tuhan. Jika hamba-Nya mengerti dunia ini hanyalah sebagai perhiasan, maka erti sabar sangat dititik beratkan. Tiada guna bersifat tamak dan haloba dengan harta dunia, sedangkan diri sudah berasa cukup dengan apa yang ada.
Seorang yang mengenal nilai akhirat pernah berkata, “sabar di dunia sekejap sahaja. Nanti Allah akan membalas segala nilai kesabaran kamu di akhirat sana.” Benar, sabar akan ujian dan tanggungan di dunia hanya sebentar sahaja. Tup tap, tup tap, sudah 60 tahun berlalu, lalu meninggal dunia. Itu ini, begitu begini, sudah beranak cucu. Hanya tinggal diri sendiri yang cuba membuat amal ibadah sebagai bekalan di sana nanti.
Bekalan sabar yang berterusan dalam kehidupan melahirkan beberapa lagi sifat mahmudah manusia yang mujahadah mendekatkan diri kepada Tuhan. Ia adalah rantaian atau cabang kebaikan kurniaan Allah bagi hamba-Nya yang sentiasa ikhlas mencari dan mengharap nilai iman dan sabar menempuh segala ujian dan keinginan. Limpahan rahmat-Nya tidak memerlukan sesiapa sebagai pengantara. Dia Maha Kaya dan Mengetahui akan setiap isi hati hamba-hamba-Nya.
Redha dan tawakal wujud hasil daripada buah kesabaran. Kemanisan iman terjalin dengan lahirnya sabar menanggung kesukaran menghadapi mehnah dan tohmahan kehidupan. Setelah segala usaha yang dilakukan hanya semata-mata kerana Allah, sekiranya ujian yang diciptakan atas usaha yang dilakukan, maka sifat redha dan tawakal sebagai paksi kukuh akan nilai yang telah dilakukan semata-mata untuk Allah s.w.t. Segala penilaian adalah milik Dia.
Sifat kesederhanaan atau qanaah lahir pada diri insan yang mujahadah ingin menerapkan nilai dan sifat kesabaran dalam peribadi. Ia lahir dari hati yang merasa cukup dengan apa yang telah dikurniakan dan merasa bahagia dengan apa yang dia ada. Insan ini tidak berlebih dan tidak meminta-minta sekiranya dia tidak seperti manusia yang lain, sebaliknya sentiasa merasa keperluannya telah dipenuhi dan tidak melarat-larat meminta itu ini, begitu begini. Cahaya sabar memenuhi hamba-Nya yang beriman agar bersifat qanaah dan zuhud pada harta dan kemewahan keduniaan.
Selain itu, sifat syukur adalah antara ranting lain hasil dari buah sabar yang lahir dari pohon iman. Syukur dalam pemberian Tuhan yang wujud pada dirinya, setelah bersabar dengan ujian Allah yang menimpa dengan tidak semena-mena. Meraih hati yang sentiasa bersyukur bukanlah mudah seperti yang disangka-sangkakan. Malah, Allah sendiri menempelak makhluk-Nya yang hanya sedikit rasa bersyukur akan nikmat yang Dia kurniakan.
“Dan sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur”. (Saba’:13)
Justeru, penilaian orang yang sentiasa sabar amat tinggi di sisi Tuhan. Dek kerana ketinggian martabat orang yang sabar, Allah kurniakan darjat yang mulia buat mereka di akhirat yang kekal selama-lamanya. Malah, Allah s.w.t turut bersama-sama dengan orang yang sentiasa bersabar dalam menempuh ujian dan mencari keredhaan khusus dari-Nya.
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira” (surah az-Zumar, ayat 10)
Malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (memberi hormat dengan berkata): ‘Selamat sejahteralah kamu, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.” (surah al-Ra’d, ayat 23-24)
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’ Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya.” (surah al-Baqarah, ayat 155-157)
“Ya Allah, apabila kami diuji oleh ketetapan-Mu, sabarkanlah kami menghadapinya. Suburkanlah hati dan jiwa kami dengan sifat sabar yang mulia di sisi-Mu. Kurniakanlah kami ketabahan dan kekuatan ketika kami merasai kekurangan dan kelemahan.”
“Ya Allah, walau bagaimana sekalipun dunia ini melingkari kami, membelit kami, menjauhkan hati kami dari mengabdikan kami untuk mentaati-Mu, janganlah Engkau memesongkan pula hati kami dari sentiasa mengingati-Mu dan mendambakan cinta-Mu. Bantulah kami dan bimbinglah kami, ketika senang dan susahnya kami berhadapan dengan setiap ujian di dunia ini.”
“Ya Allah, tautkanlah hati kami untuk sentiasa mentaati perintah-Mu. Wujudkanlah dalam diri kami rasa takut dengan larangan dan azab-Mu. Hidupkanlah harapan kami hanya semata-mata kepada-Mu.”
- tidak boleh hadir pada waktu itu. Ada kelas dan makmal yang perlu diseliakan. Tapi, untuk subjek satu lagi mungkin ada kekosongan pada waktu dan kelapangan. InsyaAllah.
-jika ada suatu keinginan, mohonlah pada Allah. Jika ia perkara yang baik, tentu Allah akan makbulkan.
-jaga kesihatan. Jangan terlalu terbeban dan tertekan dengan kerja. Sentiasa tersenyum dan ceria :)
-semoga dirahmati dan dilindungi Allah sentiasa :)


Terima Kasih Sudi Baca. ^.^

1 000 berbicara:

Anonymous said...

You said it perfectly..

my blog post: MCM 通販