♥ Pengikut Setia ♥

Saturday, May 25, 2013

Sikap 'biar papa, asal bergaya' remaja kita



RENUNGKAN sejenak sebenarnya rakyat asing yang bekerja di negara ini mendapat pendapatan di antara RM80 dan RM200 sehari hanya bekerja sebagai buruh kontrak.
Jika mereka diminta membaiki rumah persendirian, upahnya mungkin mencecah kepada RM300 sehari.
Kerajinan dan kepakaran yang ada mudah bagi mereka meminta upah yang tinggi dan itulah yang menjadikan mereka ini cepat menjadi kaya atau sekurang-kurangnya selesa berada di negara ini.
Pukul rata pendapatan warga asing kini mencecah RM3,000 sebulan. Walaupun duduk di rumah kontrak yang disediakan tetapi itu tidak menjadi masalah kepada mereka yang sudah biasa dengan keadaan sedemikian di negara mereka sendiri.
Berbalik kepada rakyat tempatan terutama sekali remaja kita, mereka lebih suka bekerja makan gaji yang bergaji kadang kala di bawah paras RM1,000 dan kalau pun bergaji hingga RM3,000 sekali pun masih merasa tidak mencukupi kerana hutang keliling pinggang yang tiada kesudahannya.
Di sebabkan masalah hutang, ada yang diheret ke mahkamah kerana masalah jatuh muflis.
Remaja kita lebih rela menjadi penganggur terhormat daripada berusaha atau sehingga mendapat pekerjaan setimpal dengan kelulusan mereka.
Tiada inisiatif untuk memperbaiki diri sendiri dan mudah berputus asa lalu berlakulah apa yang dikatakan masalah sosial di kalangan remaja itu sendiri.
Kita mesti mengubah persepsi yang terlalu negatif seperti itu dan mesti diperbetulkan minda anak-anak muda kita supaya jangan bergantung hidup dengan majikan atau mendapat pekerjaan dengan agensi kerajaan sahaja dan jangan terlalu selesa atau cuba memanjakan diri sendiri sehingga tidak mempedulikan nasib masa depan mereka sendiri.
Mulai dari sekarang diharap remaja kita bersedialah untuk menghadapi cabaran demi masa depan mereka dengan mengambil inisiatif belajar selok-belok berbagai kemahiran tambahan yang boleh mendatangkan pendapatan lumayan.
Bagi remaja kita pepatah Melayu ada mengatakan 'biar papa asalkan bergaya' masih tertanam dalam setiap benak remaja kita.
Mereka masih lagi mahu bekerja di dalam bilik berhawa dingin dan memakai tali leher sahaja walaupun mendapat pendapatan jauh lebih rendah daripada pekerja kontrak warga asing.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20121227/fo_04/Sikap-biar-papa-asal-bergaya-remaja-kita#ixzz2UHfWtWDS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Terima Kasih Sudi Baca. ^.^

0 000 berbicara: