Kita sedar bahawa wang boleh membuatkan diri gembira, tapi ia tidak membuatkan kita lebih bahagia walaupun selepas keperluan asas dipenuhi.
Cuba lihat di sekeliling kita, berapa ramai yang kaya raya, tetapi hidupnya kurang bahagia. Berapa ramai pula yang berpendapatan sederhana, tetapi dengan kebijaksanaan memanfaatkan sumber kewangan yang ada dapat menjalani kehidupan bahagia.
Benar, tidak mustahil untuk bahagia walaupun tidak punya banyak wang. Namun salah satu soalan paling besar yang sering ditanya ialah bagaimana untuk mengagihkan wang yang ada di mana kebanyakan dalam kalangan kita mempunyai sumber yang terhad.
Wujud andaian logik yang dilakukan kebanyakan individu ketika membelanjakan wangnya iaitu objek fizikal tahan lebih lama, justeru ia akan membuatkan diri lebih bahagia untuk tempoh lebih lama berbanding meraih pengalaman seperti menyaksikan konsert atau pergi bercuti.
Menurut kajian terkini, andaian itu ternyata salah.
“Salah satu musuh kebahagiaan ialah adaptasi. Kita banyak membeli barangan yang membuatkan diri gembira dan kita berjaya menggembirakan diri sendiri. Tetapi ia hanya seketika.
“Perkara baru sememangnya menarik perhatian pada awalnya, tetapi kemudiannya kita mula menyesuaikan diri dengan barangan itu,” kata Dr Thimas Gilovich, profesor psikologi di Universiti Cornell, New York, yang membuat kajian mengenai persoalan wang dan kebahagiaan sejak dua dekad lalu.
Justeru daripada membeli iPhone terkini atau kasut baru, Gilovich mencadangkan setiap individu mengurangkan tabiat berbelanja dan mengubahnya kepada meraih pengalaman seperti melawat pameran seni, belajar kemahiran baru atau mengembara di dalam dan luar negara, melakukan aktiviti luar termasuklah berkelah, berkhemah, memancing bersama keluarga atau sekadar bersantai di pantai menghirup udara segar dan memerhati perubahan cuaca serta sains di sebaliknya.
Penemuan Gilovich adalah sintesis kajian psikologi yang dijalankan pasukannya ke dalam paradoks Easterlin yang mendapati wang boleh membeli kebahagiaan, tetapi hanya pada satu tahap.
Misalnya, bagaimana adaptasi menjejaskan kebahagiaan diukur dalam kajian yang meminta orang ramai membuat laporan mengenai diri sendiri dengan menggunakan material dan pembelian barangan mewah.
Pada awalnya, tahap kebahagiaan mereka dengan orang yang kurang berbelanja berada di kedudukan hampir sama.
Namun lama-kelamaan kepuasan diri bagi mereka yang gemar berbelanja mula merosot sementara golongan yang meraih pengalaman baru mencatat tahap kepuasan diri yang lebih tinggi.
Ia bertentangan dengan tanggapan bahawa sesuatu seperti objek fizikal yang boleh disimpan untuk masa lama. Ini kerana ia tidak akan membuatkan kita gembira dan bahagia seperti apa yang ditawarkan daripada pengalaman baru.
“Pengalaman yang diperoleh adalah sebahagian besar daripada keperibadian kami berbanding material. Anda boleh sukakan pada barangan mewah. Anda boleh katakan ia adalah sebahagian daripada identiti anda, tetapi ia masih kekal sebagai barangan dan ia tidak kekal lama. Selepas satu tempoh, barangan baru itu akan menjadi lama dan ‘kegembiraan’ yang dibawanya perlahan-lahan menghilang.
“Secara kontra, pengalaman yang diraih itu menjadi sebahagian daripada diri anda. Ia kekal dalam ingatan dan akan memberi impak dalam perlakuan harian kita,” tambah Gilovich.
Benar, pengalaman yang kita kutip sepanjang hidup ini sama ada melalui aktiviti yang dianggap ‘biasa-biasa’ adalah laluan mendewasakan diri, menambah kemahiran bersosial dan memerhati dan satu hari ia menjadi kenangan manis.
Pengalaman yang diperoleh juga dapat menghubungkan kita dengan orang lain lalu berkongsi mengenainya.
Sememangnya kita akan lebih cenderung untuk menjalin hubungan erat dengan seseorang yang bercuti dengan kita berbanding seseorang yang membeli televisyen 50 inci sama seperti kita.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42857?m=1#sthash.imru1J4z.dpuf
1 000 berbicara:
Salam perkenalan sis
Post a Comment