♥ Pengikut Setia ♥

Thursday, December 26, 2013

Ingat sifir cara berlagu


Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
Kalau ditanya, memang ramai pelajar memberi jawapan kurang gemar mata pelajaran Matematik yang dianggap satu subjek susah, dipenuhi pelbagai prinsip dan formula rumit serta nombor.
Jika mahukan keputusan cemerlang, pelajar perlu menghafal formula bagi memudahkan proses penyelesaian permasalahan dalam peperiksaan. Tidak cukup dengan menghafal formula saja, pelajar juga perlu faham konsep atau prinsipnya.
Tidak hairanlah jika populariti Matematik sebagai subjek pilihan selalu menduduki tangga terakhir kerana ramai pelajar terutama daripada kalangan pelajar Melayu berpendapat ia terlalu rumit dan memerlukan banyak masa untuk mendapat satu penyelesaian. 

Oleh itu, guru pakar Matematik berpengalaman mengajar dalam bidang ini sejak 16 tahun lalu, Azhar Pa, mencari idea dan formula mudah bagi diperkenalkan kepada semua pelajar yang lemah dalam subjek ini.
Foto

Formula CikguAT yang diciptanya itu menjadikan matematik seronok untuk dipelajari oleh semua seterusnya muncul sebagai pelajar cemerlang dalam bidang ini.

Formula ini juga mampu melahirkan pakar dalam bidang matematik pada masa akan datang sekiranya diasuh dari kecil lagi.

Azhar yang berkelulusan Sarjana Muda Pengajian Matematik dari Maktab Perguruan Kota Bharu sentiasa mencari kaedah sesuai untuk ditonjolkan kepada pelajarnya.

Dia yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Tunku Puan Habsah, Baling, Kedah berkata, beberapa formula yang diolah secara kreatif itu bertujuan memudahkan dan menarik minat anak-anak dari peringkat rendah supaya minat dengan subjek Matematik. 

“Sebelum mencipta kaedah ini, saya membuat kajian selama beberapa tahun bagi mencari formula sesuai untuk diperkenalkan supaya pelajar lebih gembira mempelajari Matematik.

“Hasrat saya adalah untuk membantu pencapaian pelajar khususnya di luar bandar yang masih jauh ketinggalan dan kurang berminat dengan subjek ini,” katanya.

Umum mengetahui bahawa subjek ini sangat penting terutamanya dari peringkat sekolah rendah lagi untuk melahirkan pakar matematik, ekonomi, sains, kejuruteraan dan perubatan pada masa akan datang.

Jika mempelajari kaedah mudah sejak kecil lagi akan memudahkan sesi pembelajaran Matematik pada peringkat tinggi yang lebih mencabar.

Menurutnya, laporan menunjukkan bahawa pencapaian dan penyertaan pelajar dalam bidang sains dan matematik masih berada pada tahap membimbangkan. 

“Oleh itu saya rasa terpanggil untuk menyumbangkan idea dan memberikan cadangan kepada guru dan ibu bapa cara pembelajaran yang lebih mudah, praktikal dan menyeronokkan.

“Teknik ingat sifir cara berlagu adalah satu cara berkesan bagi membolehkan pelajar ingat sifir secara spontan. Kanak-kanak juga akan lebih berminat dengan adanya unsur muzik.

“Buktinya, mereka lebih cepat dapat menyanyikan apa juga lagu yang dimainkan di radio dan televisyen walaupun tanpa lirik dan skrip,” katanya.

Kata Azhar, ketika proses pembelajaran sedang berjalan, dua atau tiga lagu dipersembahkan sebagai hiburan sampingan kepada pelajar. 

Lagu itu boleh dijadikan sebagai bahan pembelajaran sampingan semasa aktiviti pengajaran guru di kelas dan sangat membantu menaikkan motivasi dan semangat pelajar.

Kelebihan kreativiti guru menggunakan muzik akan lebih mempengaruhi mereka untuk belajar dengan lebih bersungguh kerana proses mengingat sangat cepat.

“Muzik yang diperdengarkan itu boleh dijadikan nyanyian dengan menyebut nombor berkaitan sifir darab dan mudah ingat. 

“Jika sebelum ini guru sering menyuruh pelajar membaca dan menghafal tanpa berlagu. Teknik itu sebenarnya sangat membosankan dan membuatkan sifir sukar diingat.

“CikguAT menggunakan lagu sifir sebagai pilihan untuk dipraktikkan oleh pelajar apabila berada di rumah atau sekolah,” katanya.

Ketika sesi pembelajaran, nyanyian bernombor itu diulang beberapa kali dengan tujuan menguatkan daya ingatan pelajar.

Biasanya apabila disoal berkenaan sifir darab secara congak, pelajar akan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan jawapan. Akhirnya mereka akan menganggap matematik itu susah sehingga terbawa-bawa ke sekolah menengah seterusnya menghilangkan minat terhadap subjek itu.

Kini ada cara yang senang dan pastinya mereka mendapat rahsia ini gembira dan bermotivasi untuk suka pada matematik.

“Pelajar akan dilatih mengenali nilai setiap jari pada kedua-dua tangan dengan cara yang mudah diingati. Konsep mewakilkan setiap jari dan teknik ‘sentuh’ dan bertukar secara automatik kepada nombor.

“Mereka akan diperkenalkan dengan pengenalan nombor 6, 7, 8 dan 9 sebagai asas yang cukup kuat untuk mencari jawapan. Contohnya, angka 8 darab 7, mereka hanya membilang dengan jari yang bersentuhan dan tidak bersentuhan sehingga membawa kepada jawapan sangat tepat,” katanya.

Kepada guru, ibu bapa dan murid yang ingin mendapatkan lagu ini secara percuma boleh dimuat turun melalui siaran radio sekolah yang diterbitkan sendiri CikguAT di http://youtu.be/ ZQns5v3DoUA atau layari www.cikguat.com.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/18

Terima Kasih Sudi Baca. ^.^

0 000 berbicara: